Jumaat, 14 Jun 2013

Belajar dan mengajar Quran asas Pendidik A+

Salah satu perkara penting untuk aspek pendidikan ini ialah konsep tarbiah yang menekankan rabb dalam kehidupan. Bagaimana caranya ia dijelmakan dalam kehidupan? Belajar dan mengajar al-Quran.  'al-Quran berjalan' itu ada pada Rasulullah - yang ada akhlak mulia. 980 kali perkataan 'rabb' ini diulang dalam al-Quran. Ia membawa implikasi bahawa konsep pendidikan amat rapat dengan konsep ketuhanan. Hancurlah sistem pendidikan yang tidak membawa manusia kembali kepada Tuhan.


Apakah implikasi kepada pendidik yang ingin membina sekolah A+? Sudah tentu ia perlu mengambil pedoman ini. Pedoman yang berteraskan ayat berikut:

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah. Tetapi (sepatutnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (3:79)

Bagaimana guru yang tidak mengajar pendidikan Islam?
Mengajar al-Quran ini punya hala tuju. Halatujunya ialah Tuhan. Hatta Nabi juga ditegur agar tidak meminta orang lain menyembahnya tetapi menjadi golongan Rabbaniyyin. Kumpulan ini meletakkan al-Quran sebagai aspek penting untuk mengembalikan manusia kepada qaul atau perkataan asal : dari Tuhan.

Apabila seorang guru Sejarah bercakap tentang subjek tersebut, ada pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian.

Aspek konsep sejarah
Aspek kemanusiaan sejarah
Aspek teknikal sejarah

Belajar sejarah bukan sekadar teknikal faktanya sahaja. Tetapi diajar konsep dan aspek kemanusiaan. Konsep membawa kepada Tuhan. Kemanusiaan membawa kepada akhlak pencinta Tuhan - Nabi Muhammad saw.

Secara langsung atau tidak langsung kepada Tuhan?

Adakah belajar bahasa Melayu sama dengan ilmu tauhid? Sudah tentu ilmu alat tidak sama dengan ilmu yang dipelajari secara langsung tentang agama. Ada ilmu bersifat teknikal seperti Matematik. Ada ilmu konsep kemanusiaan seperti bahasa Melayu. Ada ilmu melibatkan kemanusiaan seperti sains dan pendidikan Islam.

Ia boleh dipelajari secara terasing. Namun alangkah baiknya jika ia diselitkan dengan aspek Ketuhanan dalam memahami konsep ilmu tersebut. Atau ketika ilmu disampaikan, pelbagai akhlak mulia dititikberatkan. Teknik perkara ini dilaksanakan ialah dengan memasukkan aspek 'do' atau aktiviti ketika dalam kelas. Pendidik akan melaksanakan aktiviti secara formal atau tidak formal bagi memasukkan nilai ini ke dalam pelajar.

Biarpun ingin dapat A dalam Matematik, ada banyak ruang untuk Pendidik memasukkan nilai A+ dalam diri pelajar. Hatta seorang tukang sapu atau pembersih tandas boleh memasukkan nilai A+ dalam diri pelajar. Caranya A+ ini dijelmakan bukan dalam bentuk intelektual sahaja. Namun dalam bentuk amali seharian.

1 ulasan: