"Banyak kerja! Stres"
"Ada kerja lagi? Aktiviti ko-kurikulum lagi?"
"Kami nak naik gaji lagi. Banyak sangat kerja."
Sebagai seorang pendidik, banyak kuantiti atau nombor yang perlu diambilkira : Berapa hari mengajar, berapa jam mengajar sehari, berapa murid dalam kelas, berapa subjek yang perlu ajar, berapa hari cuti dan berapa A pelajar saya dapat. Namun adakah ia mencapai tujuan atau matlamat adanya A, jumlah pelajar, jumlah subjek dan jumlah masa untuk mengajar?
P-kuantiti dan S-matlamat
Apabila bercakap tentang 'kuantiti', kita akan menyentuh elemen fizikal sebagai seorang pendidik. Apabila seseorang 'fokus' dengan ilmu yang benar pada setiap item yang diusahakan, ia dikaitkan dengan hak intelektual yang sudah dilunaskan. Apabila diberi perhatian dan perasaan yang wajar, hak emosi sudah dilunaskan yang membawa kepada 'kualiti' sesuatu usaha seperti mendidik atau mendapatkan A.
Kualiti sahaja tidak cukup tetapi sesuatu subjek atau masa mengajar perlu membawa kepada matlamat yang jelas. Sebagai seorang guru atau pendidik A+, matlamat utama ialah untuk menghambakan diri kepada Allah. Si pendidik akan meletakkan matlamat bahawa masa mengajar atau A yang diusahakan ini ialah atas sebab kehambaan kepada Allah. Masa mengajar ialah ibadah. A yang diusahakan untuk pelajar ialah satu ibadah - buat kerana Allah dan mengikut syariat dengan berteraskan kuantiti, fokus dan kualiti yang terbaik.
Apabila guru hilang matlamat
Apabila seseorang pendidik hilang atau kabur dengan matlamat, ia akan menyebabkan stamina menurun untuk meneruskan perjuangan. Ia seperti seorang yang masuk ke dalam terowong gelap. Apabila diberitahu terowong itu 2 km dan makin bergerak ke depan, makin jelas cahaya yang dituju, ia akan menimbulkan ghairah dan kekuatan untuk melengkapkan perjalanan.
Begitulah kehidupan sebagai seorang pendidik. Apabila matlamat utama ialah berbuat kerana Allah dan ingin menuju syurga dengan membawa pahala ganjaran ilmu bermanfaat sebagai matlamat utama, matlamat lain akan menjadi 'secondary'. Ia akan memantapkan stamina emosi, intelek dan fizikal si guru.
Apabila guru hilang matlamat, tidak sabar menunggu hujung bulan untuk menerima gaji. Ia menyebabkan tidak sabar hari Khamis atau Jumaat untuk bercuti. Ia menyebabkan tidak sabar habis hari mengajar. Ia menyebabkan tidak sabar untuk menghabiskan waktu mengajar. Tidak sabar ingin berborak di kafeteria lama-lama atau pergi shopping. Ini kesan tidak jelas matlamat.
Sebagai seorang pendidik A+, matlamat perlu disemak setiap hari, setiap ketika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan