Sebagai seorang Pendidik A+, + itu mewakili kepercayaan. Kepercayaan amat berharga kerana ia nampak sesuatu yang tidak nampak. Seorang yang percaya akan nampak si anak muridnya amat berpotensi walaupun dia sudah digari untuk masuk ke lokap selepas berbuat jenayah. Mengapa hebatnya 'kepercayaan'?
Tabiat dibina oleh nilai
Nilai dibina oleh pandangan hidup
Pandangan hidup dibina oleh kepercayaan.
Apabila seorang pendidik melihat kepada Ahmad yang digari secara fizikal, Ahmad dianggap jahat dan tiada harapan. Si guru mungkin akan benci atau putus harap untuk mendidik Ahmad.
Namun Ahmad ada nilai. Nilai itu mungkin besar atau kecil. Kecil kalau pendidik itu merasakan gari itu menunjukkan nilai yang rendah pada diri si anak murid. Namun ia besar kalau dirujuk kepada pandangan dan pengalaman hidupnya - mengetahui atau melihat orang yang digari tetapi selepas itu menjadi insan yang amat baik dan bermanfaat. Kalau ada Abu Dzar pada masa ini, mungkin beliau sudah digari kerana beliau terkenal sebagai perompak Ghifari sebelum bertemu sisi + dalam dirinya.
Pandangan hidup itu akan menjadi besar atau kecil - bergantung kepada kepercayaan. Nabi Muhammad nampak potensi + dalam diri Abu Dzar. Seorang Pendidik A+ nampak potensi + dalam diri muridnya. Pendidik + yang percaya akan mempunyai pandangan hidup dan nilai yang mantap sehingga lahir tabiat +: mengiktiraf si pelajar dalam apa jua bentuk untuk mengembalikan estim dirinya bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
"Saya yakin kamu akan menjadi orang yang hebat."
"Saya tahu kamu pernah menolong ibu ayah kamu. Kamu sayang ibu ayah kamu dengan menoreh. Siapa yang berbuat demikian, ia tetap akan berjaya."
Skrip iktiraf akan timbul membuak-buak apabila kita mengoreknya dengan kepercayaan. Pendidik A+ banyak projek, jadi perlu percaya untuk berjaya semuanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan