Pendidik biasa boleh jadi dalam kategori A,B,C,D atau E. Apa kesan kalau sekolah dipenuhi atau didominasi oleh guru yang biasa?
Pendidik E: Pendidik E mementingkan aspek fizikal. Hukuman juga dalam bentuk fizikal. Tidak perlu bertanya, mengkaji atau bersifat empati. Yang penting, kaki cikgu boleh melayang atas kepala pelajar, atau tangannya boleh melibas ke atas muka comel si anak.
Pendidik D: Pendidik D tidak menggunakan kekerasan dan penindasan dalam bentuk fizikal. Namun Pendidik D tidak mahu menggunakan ilmu dan emosi dalam berinteraksi bersama pelajar. Pendidik D kekadang tidak tahu apa yang perlu diajar dan kemahiran untuk memindahkan ilmu serta kemahiran kepada pelajar. Pendidik D merasakan apa ilmu yang dipelajari dulu sama dengan kemahiran yang diperlukan dalam kelas. Yang penting, Pendidik D ini tidak kisah tentang perasaan si anak didik. "Kamu diam!" sering keluar walaupun dalam kelas ada ramai yang sedang membaca buku di meja masing-masing.
Pendidik C: Pendidik C menggunakan intelek yang tinggi. Beliau mungkin berijazah kelas pertama. Namun beliau tidak mempunyai perasaan untuk melonjakkan potensi pelajar. Ilmu yang ada digunakan untuk menunjukkan dia hero dan anak muridnya 'bodoh' atau 'dungu'. Pendidik C suka marah-marah kerana merasakan anak muridnya tidak 'cekap' dan cepat menangkap apa yang diajarnya. "Tak faham-faham" sering keluar dari mulut Pendidik C.
Pendidik B: Pendidik B mempunyai sifat empati dan hubungan yang baik dengan pelajar. Namun daya kreatif dan kemampuan untuk menjadikan masa P&P amat menarik dan produktif amat terhad pada guru ini. "Bosanlah ke kelas," sering kedengaran dari pelajar yang berada dalam kelas Pendidik B.
Pendidik A: Pendidik A mementingkan teknik mengajar baik dan hubungan dengan pelajar yang mampu menaikkan estim serta keyakinan pelajar untuk berjaya pada masa akan datang. Pendidik A amat diperlukan di mana-mana. Pendidik A boleh hadir dari pelbagai latar agama dan kaum. Pendidik A mampu melonjakkan kualiti prestasi sekolah.
Berdasarkan serba sedikit ciri pendidik biasa di atas, sekolah mempunyai pelbagai kesan kalau guru dari pendidik biasa. Mengapa ? Kerana pendidik biasa agak tidak konsisten. Satu hari jadi D, satu hari jadi A dan satu hari jadi C. Apakah bekalan untuk menjadi istiqamah ? Bekalan spiritual yang ada pada Pendidik A+. Pendidik A perlu mendapatkan kemahiran + untuk menjadikan prestasinya konsisten.
Sebagai contoh, kalau Pendidik A+ marah, pendidik ini tidak akan menipu sehingga keluar perkataan pada pelajar yang terlibat dengan kes polis "Kamu tidak ada harapan." Kalau Pencipta pelajar tersebut menyatakan ada harapan bertaubat kecuali setelah nyawa berada di kerongkong, mana mungkin seorang guru menipu dan menyatakan bahawa si anak murid tidak ada harapan.
Sekolah akan pasti ceria dengan Pendidik A+. Sekolah amat besar menanggung risiko fizikal, intelektual, emosi dan spiritual dengan kehadiran ramai pendidik biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan