Bayangkan apabila anda menghantar anak ke sekolah. Si cikgu menyambutnya dengan senyum biar apa pun keadaan si anak. Ketika saya menghantar anak saya ke tadika, si guru tetap tersenyum menyambut di pintu pagar walaupun anak saya meraung tidak mahu ke sekolah.
Namun di peringkat sekolah rendah dan menengah, si anak sudah membesar. Cikgu sudah banyak kerja. Cikgu juga akan mengajar silibus lebih tinggi dan serius.
Antara dilema yang berlaku ialah cikgu perlu memastikan si anak murid mendapat A dalam akademik. Namun sering terlepas pandang A dalam emosi serta spiritual si anak. Kesannya?
Si anak mungkin sering dibuli atau dihina oleh kawan.
Si guru yang merasakan komennya akan membina si anak tanpa segan silu akan menyatakan, "Tulisan awak buruk."
Si guru mungkin akan berkongsi berita 'nakal' anak murid di kelas bersama pendidik lain di bilik guru dan betapa "isyyy, tension."
Apa akan jadi kalau si anak dididik oleh guru yang nampak salah si kecil sahaja ?
Apa jadi kalau anak remaja yang sudah selalu dikaitkan dengan pil kuda atau buli - berhadapan dengan guru yang menyatakan "awak nak jadi apa ni? Saya tak tahu nak buat apa dengan awak!"
Semua ini ialah risiko apabila guru atau pendidik berada pada tahap biasa. Pendidik A+ diharapkan menjadi hero dan heroin dalam melonjakkan kualiti sistem pendidikan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan